Inilah Punca Sebenar Kebakaran Di Wad ICU HOSPITAL SULTANAH AMINAH



JOHOR BAHRU – Enam pesakit yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) disahkan meninggal dunia dalam kejadian kebakaran membabitkan tingkat dua hospital berkenaan kira-kira jam 9.00 pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Othman Abdullah berkata, seorang mangsa dipercayai kakitangan yang berada di wad ICU berkenaan dilaporkan selamat.
Katanya, bomba menerima panggilan kira-kira jam 8.56 manakala 10 jentera dan 160 anggota bomba daripada Balai bomba dan Penyelamat, Johor Bahru, Tebrau, Kulai dan Johor Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Kebakaran melibatkan tingkat dua bangunan hospital berkenaan namun ia tidak merebak ke aras lain. Bomba berdepan dengan kesukaran mengesan mangsa berikutan asap tebal termasuk untuk memadamkan kebakaran,”katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata terdapat 294 pesakit dirawat di bangunan hospital ini serta 193 kakitangan berada dalam bangunan ketika kejadian.
“Manakala di wad ICU terdapat 7 pesakit dan 8 jururawat berada diwad ketika kejadian bagaimanapun hanya satu pesakit lelaki dapat diselamatkan yang turut melecur 80 peratus.
“Mangsa yang mati melibatkan empat pesakit wanita dan dua lelaki berusia lingkungan 50 tahun yang ditemui rentung dalam wad tersebut,” katanya.
Semua jururawat yang bertugas di wad ICU berjaya diselamatkan bagaimanapun tiga daripadnya sesak nafas akibat asap tebal.
Siasatan awal mendapati punca kebakaran disebabkan pendawaian dan polis bagaimanapun mengesahkan tiada unsur jenayah.


Sumber: Sinar Harian