'Saya Tak Peduli, Masukkan Isteri Saya Ke Wad 1 Atau Saya Akan Telefon Pengarah Kamu Sekarang!'



"Isteri tuan perlu dimasukkan ke wad kerana jangkitan paru-paru," jelas doktor.

"Saya mahukan wad kelas 1. Saya penjawat awam gred **. Tolong jangan masukkan ke wad biasa," kata suami pesakit.

"Tetapi tuan, keadaan isteri tuan masih belum stabil untuk dirawat di wad kelas 1. Dia memerlukan pemantauan rapi pada ketika ini sedangkan wad kelas 1 hanya kami tempatkan pesakit stabil. Masuklah dahulu ke wad biasa dan kami akan aturkan untuk masuk ke wad kelas 1 apabila keadaan isteri tuan semakin stabil," besar harapan waris mendengar nasihatnya kali ini.

"Saya tak peduli. Kelayakan saya adalah wad kelas 1. Tak apa, saya akan telefon Pengarah kamu," ugut si waris.

Senario di atas amat biasa berlaku di Jabatan Kecemasan hospital kerajaan. Apabila tidak dapat apa yang diminta, mereka menyangka kakitangan Jabatan Kecemasan sengaja menafikan hak mereka dan mula marah-marah.

Sebenarnya di hospital kerajaan,  tidak perlu kisah sangat tentang wad kelas mana. Rawatan untuk wad kelas 1, 2 atau 3 adalah SAMA. Perlu diingatkan bahawa wad kelas 1 memang tidak banyak biliknya di mana-mana hospital kerajaan. Dan kelayakan bagi wad kelas 1A (1 katil sebilik) ditetapkan oleh kerajaan untuk gred 45 dan ke atas. Bagi bilik kelas 1C (2 katil sebilik) pun kelayakannya adalah untuk gred 31 hingga 44. Jadi begitu ramai yang layak untuk dapat wad-wad kelas 1 ini sedangkan jumlah biliknya adalah terhad.

Juga, kes-kes yang dibenarkan masuk ke wad kelas 1 adalah kes-kes stabil yang tidak memerlukan pemantauan kerap. Kebanyakan doktor oncall dan kakitangan-kakitangan bertugas akan ditempatkan di wad biasa yang menerima kes-kes fresh yang tidak stabil. Oleh itu, pemantauan adalah lebih rapi di wad biasa sebenarnya. Hanya apabila pesakit-pesakit telah distabilkan pada hari ke 2 atau 3, mereka akan di pindahkan ke wad kelas 1 (jika layak) setelah mendapat keizinan pakar yang merawat.

Jadi apabila anda minta kelas 1 dan dimaklumkan tiada kekosongan, terimalah dengan hati yang terbuka. Masuk dulu wad dan kemudian akan diusahakan katil yang bersesuaian dengan kelayakan anda.

Anda perlu ingat bahawa masih ada orang lain yang lebih tinggi kelayakannya dari anda. Saya adalah seorang doktor pakar dan sudah semestinya kelayakan saya adalah bagi wad kelas 1A. Namun apabila isteri saya hendak bersalin, tidak ada kekosongan wad kelas 1A. Relax saja kami terima wad biasa. Isteri saya lagi seronok duduk di sana kerana dia dapat berbual dan berkawan dengan pesakit-pesakit lain.

Kami tak desak supaya diadakan juga wad kelas 1 seperti yang kami layak sebab memahami kesesakan hospital. Rawatan dan makanannya pun tidak ada bezanya. Sedangkan yang mengisi wad 1A itu pada ketika itu adalah orang yang gred gajinya lebih rendah dari saya. Kakitangan awam berjawatan tinggi perlu bersikap marhaen. Birokrasi melampau sesetengah kakitangan awam yang membuatkan rakyat meluat. - Doktor Abdul Rahman