Nahas Pesawat Brazil, Rakaman Terakhir Juruterbang Ini Dedah Punca Nahas ! |
Ia dimaklumkan beberapa ketika sebelum kapal terbang malang berkenaan terhempas di pergunungan Colombia, pada Selasa lalu.
The New York Times melaporkan, juruterbang sempat menghubungi menara kawalan dalam keadaan panik memaklumkan keadaan pesawatnya.
Perkara tersebut disahkan melalui pendedahan rakaman yang disiarkan media Colombia semalam.
“Puan, Lamia 2933 mengalami kegagalan sepenuhnya, kegagalan elektrik sepenuhnya tanpa bahan api,” kata juruterbang Miguel Quiroga, beberapa minit sebelum pesawat itu terhempas di luar bandar Medellin.
Nahas udara itu meragut 76 nyawa manakala hanya lima mangsa terselamat.
Rakaman tersebut disiarkan beberapa stesen penyiaran terkemuka di Colombia dan dipaparkan menerusi laman web akhbar namun belum ada pengesahan daripada pihak berkuasa.
Dalam rakaman 12 minit itu, juruterbang meminta kebenaran untuk mendarat namun pengawal trafik udara yang ingin membantu menjelaskan halangan seperti terdapat kapal terbang lain yang berhampiran.
Tidak lama selepas itu, kedengaran suara juruterbang tersebut menjerit sebelum terhempas.
Menara kemudian terputus hubungan dengan kapal terbang berkenaan dan serpihan pesawat ditemui di lereng bukit 50 kilometer di luar bandar.
Sementara itu, jurucakap agensi penerbangan Colombia berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan mengenai rakaman tersebut namun siasatan masih dijalankan. – MYNEWSHUB.CC