Najihah amat marah! Perkara ini amat tidak patut berlaku. Kecuaian besar yang memang tidak boleh diampunkan. Bodoh Betul Doktor Kerajaan Yang Merawat Aiman 3 hari lepas. Kasihan Aiman….menderita dengan sebuah penyakit yang nyaris meragut nyawanya dek sikap bekerja seperti melepaskan batuk di tangga oleh doktor kangkung tersebut.
Aiman adalah anak bongsu Najihah. Usianya baru menjejak usia 9 bulan. Dia terjatuh dari katil di rumah pengasuh. Dan pengasuh itu telah bawa Aiman ke hospital kerajaan. Najihah bergegas menuju ke hospital kerajaan tersebut setelah mengetahui perkara tersebut. Di situlah dia berjumpa dengan Doktor Solehah yang memeriksa Aiman.
Dr Solehah memeriksa dan memantau Aiman dan mendapati Aiman aktif dan bermain seperti biasa. Tiada tanda-tanda amaran katanya cuma sakit di bahagian bahu saja apabila disentuh. Dr Solehah telah melakukan ujian X-ray dan memberitahu kepada Najihah bahawa Aiman ok dan boleh pulang. Tiada kepatahan yang jelas kelihatan dan jika ada kesakitan yang bertambah boleh datang kembali ke jabatan kecemasan pada bila-bila masa. Ubat juga diberikan dan setelah hampir 4 jam tersadai di jabatan kecemasan untuk segala proses ini, Aiman dibenarkan pulang. Anduh dipasang bagi mengurangkan pergerakan bahu Aiman untuk mengurangkan kesakitan.
Aiman kekal aktif dan bermain di rumah. Cuma enggan membenarkan sesiapa menyentuh bahunya. Jika tersentuh atau terlanggar sesuatu, dia akan menangis. Najihah mula risau. Segera dia melontarkan persoalan di group facebook paling dipercayainya iaitu Masyarakat Kena Tipu (MKT). Lalu berduyun-duyunlah para ilmuwan-ilmuwan facebook di dalam MKT datang memberi pendapat. Mereka mengatakan tidak patut berjumpa doktor kerana ilmu perubatan moden adalah ilmu Yahudi. Jangan makan ubat yang dibekalkan kerana ubat adalah bahan kimia ciptaan Yahudi untuk membodohkan umat Islam. Sebaiknya cukuplah sekadar memakan madu dan habbat saja untuk melegakan kesakitan dan memulihkan Aiman.
Testimoni-testimoni diberikan tentang pengalaman kenalan masing-masing yang dikatakan doktor tiada harapan untuk hidup lagi namun telah mencuba produk-produk ‘sunnah’ tertentu hingga hidup 1000 tahun lagi. Admin group MKT, seorang Mat Despatch genius bernama Abu Nanah telah juga memberikan pendapat agar dilumurkan susu ibu saja ke bahagian yang sakit kerana susu ibu adalah ubat terbaik bagi anak-anak.
Najihah tercenggang membaca mutiara-mutiara ilmu yang dilontarkan oleh para ilmuwan facebook ini. Najihah bersyukur adanya insan-insan istimewa ini untuk membimbingnya kembali ke pangkal jalan. Kesemua anak Najihah tidak divaksin kerana mengikut nasihat group suci ini. “Gila ke nak cucuk anak macam ayam?” masih teringat Najihah akan kata-kata Abu Nanah di dalam group tersebut. Alhamdulillah…anak-anak Najihah sihat semuanya. Tidak seperti anak jirannya si Sharifah. Anak Sharifah divaksin tapi tetap kena penyakit jantung berlubang. Asyik keluar masuk wad saja setiap bulan.
Najihah nekad mengikuti nasihat group MKT sekali lagi. Ubat-ubatan hospital dicampaknya ke dalam tong sampah. Dia membawa Aiman untuk berurut. Tok Jabit memang terkenal pandai mengubat orang. Ia perubatan alami dan tiada bahan kimia Yahudi.
Najihah teringat pesanan Dr Solehah ketika ditanya, “Boleh ke bawak anak saya berurut?”
Dr Solehah melarang dan mengatakan jangan pergi berurut sebarangan. Baby lagi ni.
“Agen Yahudi punya doktor, mana mungkin senang hati dengan perubatan Islamik,” getus hati kecil Najihah.
Najihah teringat pesanan Dr Solehah ketika ditanya, “Boleh ke bawak anak saya berurut?”
Dr Solehah melarang dan mengatakan jangan pergi berurut sebarangan. Baby lagi ni.
“Agen Yahudi punya doktor, mana mungkin senang hati dengan perubatan Islamik,” getus hati kecil Najihah.
Tok Jabit pun mengurut untuk beberapa hari, namun kesakitan Aiman kini bertambah berbanding sebelumnya. Aiman kini tidak mahu lagi menggerakkan tangannya kerana sakit. Najihah semakin risau kini. Sekali lagi dirujuknya masalah Aiman kepada rakan-rakan cendekiawannya di MKT. Abu Nanah berkata kadang kala urut tidak sesuai dengan tubuh seseorang. Najihah mengatakan dia juga sudah mencuba produk-produk ‘sunnah’ jualan rakan-rakan MKT tapi tidak berhasil. Mereka menyuruh Najihah bersabar dengan ujian terhadap dirinya. “ini adalah ujian Allah ke atas hambaNya yang beriman. Kena tempuh dengan sabar dan redha.” Najihah akur dan beristighfar.
Sudah 5 hari dan keadaan Aiman tidak semakin elok setelah berubat dengan Tok Jabit. Aiman akan menangis semalaman kerana sakit hingga tidak boleh tidur. Najihah membawa Aiman pergi ke hospital swasta pula. Pemeriksaan dilakukan termasuk X-ray dan alangkah terkejutnya Najihah apabila diberitahu bahawa tulang selangka (clavicle bone) Aiman patah!!! Mana mungkin kecederaan ini terlepas pandang oleh DR Solehah 5 hari lepas?! Ini satu kecuaian yang serius dan mesti diviralkan sebagai pengajaran!
Najihah menulis dengan penuh geram sebuah status meruntun hati akan kesengsaraan yang dialami Aiman. Panjang juga statusnya itu dan disisipkan sekali gambar Aiman yang sedang menangis sebagai bukti. Nama Dr Solehah yang bodoh dan hospital kerajaan yang cokia juga disebutnya dan terus dipost untuk diviralkan. Depa ni semua makan gaji buta dan mesti diajar!
Zasssssss…….sekejap saja ribuan likes dan shares untuk status Najihah. Ruangan komen dipenuhi dengan makian terhadap Doktor dan para petugas hospital. Juga segala macam kisah ngeri nenek moyang zaman berzaman berurusan di hospital kerajaan seluruh tanahair diriwayatkan di ruangan komen oleh penyokong-penyokong Najihah sebagai pedoman buat semua.
Ada juga komen dari staf-staf hospital yang cuba mempertahankan diri namun habis di’bash’ beramai-ramai oleh netizen yang bersimpati dan marah dengan nasib Aiman dan Najihah.
Sementara itu di hospital….beberapa orang doktor pakar sedang melihat X-ray Aiman. Puas mereka melihat dan mereka akui tidak ada kepatahan yang jelas kelihatan. Mendiagnosis kepatahan tulang pada kanak-kanak adalah mencabar kerana tulang kanak-kanak adalah tidak mudah untuk patah kerana masih anjal. Juga ia mudah dibengkokkan dan dilentur, tidak keras seperti tulang orang dewasa yang mudah patah.
“Aiman mungkin mengalami Greenstick fracture, sejenis kepatahan tidak lengkap pada tulang selangkanya yang biasa berlaku di kalangan kanak-kanak. Kepatahan jenis ini adalah mencabar untuk didiagnosis kerana ia tidak kelihatan jelas kadang kala di dalam X-ray. Namun apabila diurut dan dikenakan tekanan oleh tukang urut, kepatahan tidak lengkap yang sepatutnya boleh sembuh dengan mudah kini telah menjadi kepatahan yang lengkap. Kalau buat X-ray selepas mengurut, memanglah nampak jelas patahnya sebab dah complete. Parents jenis apa ni, bawak baby umur 9 bulan pergi mengurut?” kata Dr Ahmad, seorang pakar senior sambil menggeleng-gelengkan kepala.
Dr Fahmi, seorang doktor muda yang mengikuti perbincangan bertanya, “Dr Ahmad, bagaimana caranya kita rawat Greenstick fracture clavickle ni?
Dr Ahmad menjawab, “Arm sling (anduh) and pain management (ubat penahan sakit). Ia akan baik sendiri dalam 3-4 minggu.”
Dr Ahmad menjawab, “Arm sling (anduh) and pain management (ubat penahan sakit). Ia akan baik sendiri dalam 3-4 minggu.”
“Kalau complete fracture pulak?” tanya Fahmi.
“Sama juga,” kata Dr Ahmad ringkas.
“Takde operation atau besi-besi yang boleh dipasang kah?” tanya Dr Fahmi.
“It is a growing bone. I don’t think any orthopedic surgeon would be willing to fix it. Dia akan pulih sendiri” kata Dr Ahmad.
Najihah melihat beberapa page perubatan terkenal mula mengulas status Najihah. Kini Najihah kena counter viral pula. Berduyun-duyun petugas kesihatan mengutuk Najihah dan hairan dengan sikapnya yang tidak menyiasat sebelum menyebar berita. Mereka juga kasihan betapa seorang bayi terpaksa menjalani urutan hingga fracture yang simple kini menjadi complete dan menambah kesakitan bayi tersebut.
Status asal Najihah diserang segenap arah dan Najihah semakin takut. Najihah segera merujuk kepada pakar rujuk serba tahunya Abu Nanah.
“Jalan penyelesaiannya mudah saja. Delete je post tu dan buat bodo. Nanti Yahudi-yahudi tu diam le tu,” kata Abu Nanah.
Najihah nampak sinar harapan setelah mendapat pedoman dari mahaguru Abu Nanah.
Segera dia delete status tersebut dan memuat naik status baru dengan mengatakan bahawa dia menerima nasihat suami dan rakan-rakan untuk tidak membuang masa berbahas kecuaian orang lain. Juga dia menitipkan ucapan terima kasih dan pujian melangit kepada semua rakan-rakan MKT nya terutamanya Abu Nanah yang merupakan penyuluh hidupnya di saat kegelapan.
Isu selesai.
Mudahnya menjadi Najihah. Nama hospital yang telah dibusukkan, siapa yang akan bersihkan?
Mudahnya menjadi Najihah. Nama hospital yang telah dibusukkan, siapa yang akan bersihkan?
**Segala nama dan jalan cerita jika ada persamaan hanyalah satu kebetulan, tiada kaitan dengan mana-mana pihak sama ada yang hidup atau belum mampus-mampus.
Sumber : Dr. Abdul Rahman Abdul Kadir