IPOH: Penceramah bebas, Datuk Kazim Elias hari ini membuat laporan polis terhadap dua pengguna media sosial (Facebook) kerana didakwa membuat komen-komen yang berunsur fitnah sehingga menjejaskan reputasinya sebagai seorang penceramah agama terkenal tanah air.
Ustaz Kazim berkata, beliau membuat laporan itu kerana merasakan komen-komen negatif yang dibuat oleh aktivis Syed Azmi Alhabshi dan personaliti Wardina Safiyyah sebagai komen-komen yang sangat memalukannya.
Untuk itu katanya satu tindakan perlu diambil bagi membersihkan namanya dan nama sekolahnya Maahad Tahfiz Darul Barakah.
“Saya mengambil keputusan untuk membuat laporan ini sebab mempertahankan diri saya kerana komen-komen yang begitu negatif yang secara langsung dapat disifatkan sebagai itu adalah saya malah ada yang menggelarkan saya dengan gelaran gelaran yang buruk ekoran viralnya di dalam Facebook mereka.
“Jadi saya minta supaya pihak polis mengambil siasatan ke atas perkara ini supaya tidak berlaku fitnah yang berpanjangan terhadap diri saya, terhadap sekolah saya dan saya harap kepada netizen yang memberi komen dan sebagainya di dalam Facebook mereka ini supaya dapat berhati hati jangan kita mengatakan sesuatu yang di luar batasan Islam dan mempunyai pegangan agama,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh petang tadi.
Beliau seterusnya menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada terhadap kedua-dua pengguna Facebook terbabit kerana didakwa telah mencelarkan reputasinya sebagai seorang penceramah terkenal tanah air dan juga sekolah maahad tahfiz di bawah kelolaannya.
Baru-baru ini, tersebar di laman sosial mengenai beberapa orang pelajar baharu di maahad tahfiz berkenaan yang dikatakan dicabul selain didakwa berlaku kejadian seks luar tabii.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Datuk Mohd Yusop Husin pula berkata, pihaknya telah membuat lawatan ke maahad berkenaan dan pegawainya turut menemuramah beberapa pelajar.
Sumber : Astro Awani | Diterbitkan pada Ogos 26, 2016 18:49 MYT