(India): Sebuah mahkamah di Bihar terkejut dengan kehadiran seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang berpakaian compang-camping datang untuk membayar hutang ibunya yang sudah meninggal dunia.
Menurut laporan, Anita Devi dari Kampung Singhaul di daerah Begusarai meminjam Rs21,000 (RM1,251) dari pada State Bank of India pada 2006 untuk mengusahakan perniagaan keluarga selepas suaminya Sunil Mochi langsung tidak menunjukkan minat untuk berbuat demikian.
Dua tahun kemudian, Anita melahirkan anak lelaki, Sudhir Kumar yang kini berusia lapan tahun.
Malangnya, pada 2012, Anita meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya dan suaminya menghilangkan diri menyebabkan anaknya terpaksa dibela saudara-mara mereka.
Baru-baru ini, Sudhir menerima notis daripada bank menuntut hutang berusia 10 tahun itu dilunaskan.
Kerana buntu, kanak-kanak itu meminta nasihat orang kampung yang membantunya mengumpulkan wang berjumlah Rs5,000 (RM298) sebagai ansuran pertama.
Sehubungan itu, Sudhir datang ke mahkamah Sabtu lalu untuk membayar hutangnya.
Bagaimanapun, hakim yang terkejut melihat keadaannya yang miskin serta terlalu muda bersimpati dengannya dan memanggil pegawai bank sebelum mengarahkan mereka mengetepikan keseluruhan hutang berkenaan.
Malah, dia dikeluarkan resit mengatakan hutang berkenaan sudah dibayar.
Seorang penduduk kampung berkata: “Hakim dalam keputusannya berkata, dia menghormati dedikasi ditunjukkan Sudhir yang sanggup datang ke mahkamah semata-mata mahu melunaskan hutang ibunya itu.” - Agensi