Kuala Lumpur: Polis berjaya mengesan suspek utama kes tembak mati seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat di Jalan Taman Ibu Kota, Setapak, di sini, pada 27 Julai lalu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya berjaya mengenal pasti identiti suspek utama kes tembak itu.
"Ya, kami sudah kenal pasti dalang utama suspek kes tembak itu, tapi beri kami masa untuk menahan suspek yang terbabit," katanya selepas majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman di sini, hari ini.
Pada 27 Julai lalu, 18 tembakan dilepaskan mengakibatkan seorang lelaki maut serta-merta di persimpangan lampu isyarat Jalan Taman Ibu Kota, Setapak
Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa berusia 43 tahun ditembak ketika memberhentikan keretanya di lampu isyarat apabila dihampiri dua motosikal dinaiki empat suspek sebelum pembonceng kedua-dua motosikal turun dan melepaskan tembakan pada tingkap di bahagian kanan dan kiri kereta.