15 Pokemon Go Trainer kena saman di Malaysia.


Georgetown: Polis saman 15 pengguna jalan raya yang meletakkan kereta dan motosikal sesuka hati semata-mata untuk bermain Pokemon Go di sekitar kawasan Lebuh Acheh dan Lebuh Cannon di sini, 12 tengah malam tadi.
Dalam operasi itu, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Trafik Timur Laut (IPDTL) membuat pemeriksaan di sekitar kawasan berkenaan selepas menerima laporan kehadiran beberapa kumpulan lelaki dan wanita di situ sehingga mengganggu ketenteraman penduduk.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya dimaklumkan sejak kebelakangan ini orang ramai mula berkumpul dan membuat bising di sekitar kawasan penempatan penduduk di Lebuh Acheh dan Lebuh Cannon sehingga mencetuskan rasa kurang senang penduduk.
Beliau berkata, bertindak atas aduan, pihaknya segera membuat pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya yang meletakkan kenderaan mereka sesuka hati di sepanjang kaki lima jalan raya.
"Pihak kami mendapati pemilik kenderaan berkenaan sedang leka bermain aplikasi Pokemon Go dan meletakkan kenderaan sesuka hati.
"Tiada sebarang kesalahan pun untuk bermain Pokemon Go tetapi tidak seharusnya mengganggu ketenteraman orang lain sehingga membuat bising dan pihak polis ingin menasihati orang ramai agar tidak menjadikan aplikasi permainan itu sebagai satu punca untuk menyusahkan orang lain termasuk mengabaikan keselamatan diri," katanya ketika ditemui di sini malam tadi.
SUmber Harian Metro:                    Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 9:40 AM