Coretan Terakhir Pengantin Baru Ini Beri Tanda Perpisahan Terakhir.





KEHILANGAN orang yang tersayang bukan mudah untuk dilupakan. Hanya sempat bersama lebih kurang sebulan, lelaki ini terpaksa menerima ketentuan bahawa isterinya telah pergi selamanya.

Lebih menyedihkan, coretan terakhir arwah menerusi laman Instagram yang sempat mendoakan agar suaminya sentiasa tabah, kuat dan berserah kepada Allah menjadi petanda perpisahan selama-lamanya buat pasangan ini.
“Semoga Allah melindungimu, merahmati hidupmu, mengurniakan segala kebaikanNya kepada mu, mengurniakan rezeki dan kebahagiaan kepadamu… wahai suami ❤.
“Tabahlah, kuatlah, terus berdiri… Insha’Allah, semuanya akan jadi sebaiknya dengan izinNya. Mr. husbandi love you so much,” tulisnya.
Nafisah Salleh, 23, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika berada di rumah sewa mereka di Taman Puteri Lagenda, Gurun, Kedah sekitar pukul 10.30 pagi, pada Isnin lalu.
Arwah yang baru bernikah pada 16 September lalu ditemui tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah oleh ibunya, Faziah Abdullah, 56.
Ibunya pada ketika itu datang untuk menghantar bubur caca diminta arwah sebelum itu.
Suami arwah, Mohd. Syafirul Salleh, 23, memberitahu dia dan isterinya lebih sebulan tinggal di rumah sewa itu selepas berpindah dari rumah ibu bapa masing-masing beberapa hari selepas majlis akad nikah.
Ketika kejadian, isterinya bersendirian di rumah kerana dia keluar bekerja di sebuah bank di Gurun sebelum ibu mentua menghubunginya dan memaklumkan arwah pengsan di rumah.
Difahamkan, majlis persandingan pihak perempuan bakal diadakan 8 Disember depan manakala di pihak lelaki pula selang dua hari kemudian.
Salam takziah dari kami warga kerja Mynewshub buat Mohd. Syafirul dan keluarga allahyarham. Semoga arwah isterinya itu dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. –