Zika masuk Malaysia: Wanita Klang sah dijangkiti, kes pertama di negara ini.


KLANG: Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang wanita berusia 58 tahun di Klang, Selangor sebagai mangsa pertama dijangkiti virus Zika di Malaysia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata wanita yang bekerja sebagai konsultan kewangan di Petaling Jaya itu menaiki bas bersama suaminya untuk mengunjungi anak perempuan mereka di Singapura pada 19 Ogos dan pulang ke tanah air dua hari kemudian.

Bercakap pada satu sidang media di sini, beliau berkata selepas seminggu, wanita berkenaan dilaporkan mulai demam dan dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan.

Menurutnya, ujian air kencing yang dijalankan ke atasnya mengesahkan dia dijangkiti virus tersebut.

Bagaimanapun, ujian ke atas suaminya yang turut sama ke Singapura didapati negatif.

Katanya, anak wanita berkenaan di Singapura disahkan dijangkiti virus Zika pada 30 Ogos lalu oleh pihak berkuasa kesihatan Singapura.

Katanya lagi, kementerian akan melaksanakan kawalan vektor nyamuk Aedes di kawasan perumahan wanita itu yang terletak di Taman Botanik, Klang.

Kawalan vektor nyamuk akan turut dilakukan di sempadan-sempadan Singapura dan Malaysia, termasuk dalam kenderaan yang datang dari Singapura, terutamanya kenderaan awam seperti bas.


Dalam pada itu, beliau menyarankan orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga agar nyamuk Aedes tidak membiak di kawasan rumah dengan memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih dan mengelak daripada air bertakung.

Di samping itu, orang ramai boleh mengambil langkah penjagaan sendiri seperti membeli ubat nyamuk dan memakai pakaian menutup kulit pada waktu pagi dan malam untuk menghalang daripada digigit nyamuk Aedes.

Selain melalui gigitan nyamuk Aedes, virus Zika boleh merebak melalui pemindahan darah (blood transfusion), aktiviti seks tanpa perlindungan dan pencemaran laboratori.

Virus tersebut didapati boleh tinggal di dalam badan manusia berbulan lamanya, enam bulan bagi lelaki dan dua bulan bagi wanita.

Wanita mengandung yang dijangkiti virus Zika adalah yang paling berisiko tinggi kerana ia memberi kesan serius kepada bayi dalam kandungan.

Virus tersebut boleh menyebabkan bayi dilahirkan menghidap mikrosefali yang menyebabkan keadaan saiz kepala bayi menjadi kecil daripada biasa dan sering kali dikaitkan dengan perencatan mental.

Bayi yang dilahirkan dengan gejala mikrosefali juga berisiko untuk meninggal dunia. 

Dr Subramaniam berkata ibu-ibu mengandung di Malaysia yang khuatir dengan kewujudan virus Zika dalam negara boleh mendapatkan nasihat lebih lanjut dengan pakar perubatan perbidanan masing-masing dan melakukan ujian darah atau air kencing jika perlu.

Manakala orang ramai yang ada melawat negara-negara dengan rekod virus Zika dan mempunyai simptom-simptom jangkitan seperti demam, mata merah, ruam dan sakit sendi boleh segera ke klinik dan hospital berdekatan untuk membuat ujian.
Katanya, terdapat 17 pusat perubatan di seluruh negara untuk membuat ujian virus Zika.

Tambahnya, kementerian tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengeluarkan travel advisory(nasihat perjalanan) kepada warga Malaysia yang ingin berkunjung ke negara-negara yang mempunyai rekod kes Zika seperti Singapura.

Beliau berkata langkah itu tidak perlu kerana ia boleh membawa komplikasi yang lebih besar.

Menurutnya terdapat lebih 200,000 warga Malaysia yang sedang bekerja di Singapura termasuk mereka yang berulang-alik dari Malaysia.

Setakat ini, lima warga Malaysia di Singapura dilaporkan dijangkiti virus Zika dan sedang dirawat di hospital dalam keadaan stabil.