Eizlan Yusof Tonton Video Anak Setiap Malam Sebagai Pengubat Rindu


Tinggal bersingan membuatkan Datuk Eizlan Yusof sering menonton video anak-anaknya sebagai pengubat rindu.
“Saya tak kisah pun kalau orang kata foto atau video anak lebih banyak berbanding diri sendiri. Ada sebab kenapa saya buat begitu.
“Sebenarnya Instagram (IG) banyak video anak sebab rindu, lagipun kami tidak tinggal sebumbung jadi video itu sajalah pengubat hati saya.
“Lebih mudah sebenarnya jika muatnaik di IG, saya boleh tonton video terdahulu mereka berulang-kali dengan lebih cepat tanpa perlu mencari dibahagian galeri video yang ada di telefon pintar.
“Setiap malam sebelum tidur saya pasti akan tengok video dulu sampai tersenyum sendirian. Hilang sikitlah penat bekerja bila lihat gelagat comel mereka.
“Anak yang sulung dah pandai guna telefon pintar jadi dialah yang hantarkan kepada saya video-video itu.
“Kadang-kadang bila bertemu, saya sendiri pun tidak lepaskan peluang merakamkan momen-momen menarik bersama mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Lara Aishah baru-baru ini.
Dalam pada itu, Eizlan turut menyatakan rasa syukur kerana bekas isterinya, Vee Santie, 30, tidak pernah menghalangnya untuk bertemu tiga orang anaknya sekerap mungkin.
“Alhamdulillah, saya boleh jumpa anak-anak bila-bila masa saja dan bekas isteri juga tidak halang atau letakkan limit masa ketika bertemu mereka.
“Anak-anak masih kecil untuk faham situasi yang berlaku. Tetapi disebabkan kami kerap bertemu, jadi setiap kali saya tiada mereka hanya fikir saya keluar bekerja,” ujarnya.
Mengulas mengenai kehidupan peribadi, pelakon berusia 45 tahun ini menjelaskan dia belum terfikir untuk mencari pengganti.
“Buat masa ini saya sibuk dengan kerja dan masih belum terlintas untuk cari pengganti. Lebih selesa habiskan masa bersama anak-anak.
“Lagipun saya kini sambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM). Dengan belajar dan juga bekerja, saya rasa belum tiba masanya nak fikir tentang pengganti dalam masa terdekat.
“Kalau kawan, ya memang saya ada ramai kawan wanita tapi yang istimewa itu tidak ada.
“Saya tidak kata saya menutup pintu hati untuk berkahwin cuma bagi saya jodoh itu ditangan tuhan, kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Kalau ada jodoh, saya terima,” jelasnya.
Terdahulu, Eizlan berkahwin dengan Vie Santie Harun pada tahun 2007 sebelum disahkan bercerai pada Februari 2015.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Vie Zaara, 8, Zareef Yusof, 6, dan Vie Zaalia, 3.
Dalam perkembangan lain, Eizlan turut membintangi drama Lara Aishah terbitan Global Station Sdn Bhd yang bersiaran setiap Isnin – Jumaat, jam 6.00 petang secara eksklusif di Astro Prima (saluran 105) dan siaran serentak di Maya HD (saluran 135).
Sumber : Astrogempak.my