Di sebalik kemajuan dan pembagunan yang dikecapi kini, ramai diluar sana yang bekerja tidak mempunyai masa melakukan urusan harian dan ada juga di luar sana tidak mempunyai pekerjaan.
Bagi Mohd Zulhairi Zainol, 31, peluang yang ada ini digunakan sebaik mungkin untuk mencari rezeki yang halal.
Beliau kini menjadi ‘runner’ di mana semua kerja yang tidak dapat dilakukan oleh mereka yang sibuk beliau sedia untuk lakukannya.
Dari menghantar kanak-kanak ke sekolah, membeli gajet, pergi pasar, pergi kedai, menghantar barang dan sehingga membuang sampah.
Beliau yang sebelum ini seorang mekanik memilih kerja ini kerana lebih mudah dan lumayan selain dapat berbakti kepada masyarakat.
Khidmatnya disediakan kepada penduduk sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, Cyberjaya dan sekitar Bangi, Selangor untuk apa saja urusan.
Beliau pada mulanya bermula haya dengan membeli barang untuk kenalan dengan bayaran upah seikhlas hati dan kini, Mohd Zulhairi kini terkenal dalam kalangan penduduk di sini yang memerlukan bantuan membeli barang keperluan, menghantar barang, menghantar pakaian ke dobi, membeli makanan, membuang sampah, mengambil anak dari sekolah, membayar bil dan membeli ubat.
Sebut saja perkhidmatan yang diperlukan, bapa kepada seorang anak ini bersedia memberikan perkhidmatan dengan bayaran yang setimpal dan berpatutan.
Menurut ceritanya, dia mula melibatkan diri dalam bidang ini sejak setahun lalu selepas mencabar diri untuk terlibat dalam bidang lain selain membaiki kenderaan.
“Idea menjadi penghantar cepat ini timbul selepas bapa saudara yang tinggal di Kanada memaklumkan perkhidmatan ini sudah 10 tahun bertapak di negara itu membuatkan saya nekad memperlahankan aktiviti di bengkel dan menumpukan perhatian dalam bidang ini.
“Saya seronok dan puas membantu orang ramai terutama suri rumah yang tidak mempunyai kenderaan untuk ke kedai atau menghantar makanan untuk ibu yang berpantang,” katanya.
Katanya, dia menerima apa saja kerja daripada membuang sampah , membelikan makanan dan telefon bimbit, mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan menghantar barang kemas ke pajak gadai.
Katanya, pekerjaan itu memberi pendapatan sehingga RM4,000 sebulan dengan syarat rajin, sabar dan tidak memilih tugasan.