Seluruh penduduk murtad, pakcik ini terpaksa solat sendirian selama 30 tahun



Mendapat pesanan Mesej dari Kekanda Taiko Ali Russia yang sedang berdakwah di Bumi Timor Leste.

Salam kasih umat dari lereng lereng Gunung Timor Leste. Alhamdulillah. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi saw dan Sahabat Ra atas pengorbanan mereka sehingga kita mendapat nikmat iman dan Islam. Alhamdulillah kami sekarang berangkat ke sektor seterusnya. Nama Daerahnya Vequeque. Daerah yang bergunung-ganang dan lebih mencabar serta lebih mujahadah. Perjalanan kami akan menempuhi lereng lereng dan curam yang lebih dalam.


Semalam kami di kejutkan oleh satu peristiwa yang menyebabkan seluruh ahli jemaah menangis. Kami di bawa oleh Ustaz Ibrahim penanggungjawab Daerah Baucau yang baru pulang dari mengerjakan Umrah. Kami dibawa ke satu kawasan pergunungan bernama Brema. Perjalanan kami menggunakan pickup 4×4 dengan menyusuri lereng gunung pinggiran pantai kemudian berjalan kaki sejauh 3 km menuruni denai, melintasi sawah padi, membelah belantara dan akhirnya mendaki gunung lalu sampai ke kawasan tersebut.

Di atas gunung Brema itu terdapat seorang insan yang Allah pelihara iman dan kalimahnya berusia hampir 100 tahun. Namanya Pak Abu Bakar asal beragama Pagan dan anak Pribumi. Beliau memeluk Islam pada tahun 1975 dan hampir seluruh kampungnya sekitar 500 orang juga memeluk Islam. Tetapi oleh kerana faktor sekitar seorang demi seorang telah meninggalkan Islam serta murtad dan akhirnya tinggallah beliau berdua bersama sahabat baiknya Pak Kasim yang masih Islam dan pertahankan kalimah.

Hampir lebih 30 tahun berliau berdiri teguh dengan Úkir yang kuat ke atas Islam dan kerisauan keatas saudara mara serta penduduk kampung yang murtad. Dari usia muda sehinggalah beliau tua. Beliau azan dan solat sorang diri. Kekadang berdua sehinggalah sekarang.


Ketika kami sampai beliau agak terperanjat dan kelihatan terketar ketar menangis kegembiraan atas kunjungan kami. Kami berpelukan sambil berlinangan airmata dan pelukannya seolah-olah tidak mahu melepaskan kami.

Kami sampai sebelum Zohor dan habiskan masa bersama solat zohor dan asar bersama sama.

Satu peristiwa yang kami dapat belajar dari seorang lelaki tua yang tidak punya apa-apa, rumahnya dari buluh dan beratapkan nipah dan berjalan kaki untuk mengambil wuduk hampir setengah kilometer di sumur yang jauh di lereng curam.


Apa yang kami belajar kami melihat beliau bersiap-siap untuk solat bersama kami tetapi kemudianya beliau berkata, “Tunggu sekejap, saya jangkau dulu kawan saya. Jangkau bermaksud khususi atau usuli. Beliau telah keluar dari Musalla dan berjalan hampir setengah kilometer lagi untuk usuli kawannya untuk di bawa bersolat Jemaah di Musalla.

Allahu...

Kami makan tengahari bersama. Nasi putih berlauk kan cili apai dan Maggi yang kami bawa. Kata Pak Abu Bakar puluhan tahun beliau cuma makan nasi dan pucuk kayu kadangkala ikan kerana tiada apa yang halal yang dapat di makan kerana orang orang kampung keseluruhaannya memelihara babi dan anjing.

Kami berbual dan ternyata beliau berbicara soal iman dan amal setiap masa dengan suara yang terketar ketar.

Selepas Asar kami bersiap untuk pulang ke Masjid Baucau. Ternyata beliau sekali lagi memeluk kami seolah-olah tidak mahu melepaskan dan perkataan yang menyayat hati kami ialah bila beliau berkata, “Kapan lagi kamu semua akan mengunjungi saya. Mungkin bila kamu datang lagi bapak sudah tidak ada…” Beliau menangis dan mengalirkan air mata dan kami juga.


Allahu. Kalimah tersembunyi di lereng Timor Leste. Katanya lagi. “Di mana lagi orang orang Islam yang selalu mengunjungi saya dan mereka di sini hanyalah orang orang dakwah seperti kamu. Di mana manusia Islam yang lain.”

Semoga Allah matikan beliau dengan kalimah iman. Kalimah-kalimah tersembunyi di lereng-lereng gunung Timor Leste.

Doakan jemaah kami.
Ali Russia
Baucau Sektor Timor
Timor Leste

Nota Editor : Kisah benar ini asalnya telah dikongsikan di fb wall Ustaz Ahmad Farkhan. Kami kongsikan semula di sini dengan harapan ia turut memberi inspirasi buat anda dalam menempuh dunia yang penuh dengan pancaroba dan dugaan ini.